Artikel Suratkhabar

Kolagen rahsia awet muda?

Rumpai laut telah dikenal pasti sebagai sumber ekonomi baru yang sedang dimajukan untuk memberi pendapatan kepada nelayan khususnya di Sabah. Sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) projek rumpai laut merupakan sebahagian daripada pembangunan industri akuakultur selain udang laut sebanyak 21 peratus, ikan laut (tujuh peratus), kerang-kerangan (50 peratus), lain-lain sebanyak satu peratus. Industri rumpai laut disasarkan nilai pengeluaran 30,957 tan metrik atau peratusan sumbangan sebanyak 21 peratus. Memandangkan industri rumpai laut dilihat sebagai satu sumber ekonomi yang boleh membantu nelayan meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka, agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani giat menjalankan aktiviti pengkulturan rumpai laut.
Spesies utama yang dikultur ialah Eucheuma, iaitu sejenis spesies rumpai laut liar yang banyak terdapat di negeri Sabah.

Dua spesies utama ialah Eucheuma cottonii dan Eucheuma spinosum. Spesies ini tumbuh dalam air tenang atau dalam air yang bergerak perlahan. Eucheuma dipilih kerana berdasarkan kajian saintifik menunjukkan ia mengandungi bahan berguna yang boleh digunakan dalam proses asas biokimia dan bioteknologi. Carrageenan merupakan produk yang diperoleh daripada rumpai laut yang banyak digunakan untuk pelbagai industri seperti farmaseutikal, kosmetik, kilang penapisan, pengawetan dan juga dalam industri pembuatan bahan letupan serta peluru Sebab itu LKIM pesat menjalankan projek pembangunan di Sabah bagi membantu nelayan di negeri tersebut dan tujuan akhirnya ialah mengeluarkan produk-produk berasaskan rumpai laut. Berdasarkan laporan yang diterbitkan oleh Jabatan Perikanan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berjudul Transformasi Industri Rumpai laut Negara, satu Jawatankuasa Pembangunan Industri Rumpai Laut Negara telah dibentuk pada 2008 dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha kementerian.

Pada tahun yang sama, Jawatankuasa Teknikal Rumpai Laut dibentuk yang dipengerusikan oleh Jabatan Perikanan. Kedua-dua jawatankuasa tersebut masing-masing bertanggungjawab untuk menentukan hala tuju serta memantau dan menilai kemajuan program di peringkat nasional dan menilai cadangan program dan projek penyelidikan dan pembangunan termasuk industri hiliran dan huluan. Jawatankuasa tersebut melibatkan beberapa institusi penyelidikan dan institusi pengajian tinggi (IPTA) antaranya, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia serta Universiti Putra Malaysia (UPM).

UMS mengetuai bidang industri huluan yang turut dianggotai oleh Jabatan Perikanan Sabah USM, Universiti Malaya (UM) dan UKM. Bidang hiliran pula diketuai oleh oleh UKM dan dianggotai oleh Jabatan Perikanan Sabah, UMS, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Sirim Berhad, UPM dan USM. Pembangunan industri huluan antaranya melibatkan pewujudan mini estet, pengkuluturan spesies Glacilaria sp dalam kolam dan pengkulturan Gelidium sp secara on line manakala kumpulan hiliran membangunkan sektor pemprosesan rumpai laut.

Rumpai laut sumber pendapatan tambahan  

LAHAD DATU 6 Feb. - Keunikan dataran lumpur Semenanjung Dent yang mempunyai terumbu karang dan pelbagai jenis rumpai laut bukan sahaja menyumbang kepada pendapatan negeri, tetapi turut menyumbang pendapatan tambahan kepada kira-kira 400 penduduk Kampung Sinakut di sini.
Aktiviti ternakan rumpai laut itu merupakan industri hiliran kecil-kecilan kepada keluarga nelayan itu yang dijadikan sebagai pendapatan tambahan kepada pendapatan hakiki mereka yang bergantung kepada hasil laut.
Sehubungan itu, mereka amat mengalu-alukan usaha yang dilakukan oleh kerajaan dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang giat memulihara alam sekitar kawasan dataran lumpur semenanjung berkenaan.
Seorang penduduk, Jimi Uddin berkata, sebagai nelayan, selain meraih pendapatan harian dengan menangkap ikan mereka kini giat menceburi ternakan rumpai laut.
''Golongan nelayan banyak bergantung kepada sumber laut, selain itu, kami juga mengusahakan ternakan rumpai laut sebagai pendapatan tambahan.
"Walaupun pendapatan yang diperoleh menerusi ternakan rumpai laut tidak seberapa, tetapi sekurang-kurangnya ia akan menambah pendapatan nelayan yang menjalankan projek itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Seorang lagi penduduk, Paklah Samad berkata, pada masa ini, golongan di kampung itu tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pendapatan menangkap ikan yang ada kalanya tidak menentu terutama pada musim tengkujuh.
''Sekurang-kurangnya kami mempunyai pilihan. Jika tidak turun ke laut semasa musim tengkujuh kami boleh mengusahakan ternakan rumpai laut.
''Pencemaran alam sekitar yang berlaku bukan sahaja akan mengakibatkan nelayan kehilangan punca mata pencarian utama tetapi turut menjejaskan hidupan laut," katanya.
Sumber: http://www.utusan.com.my

Sinar rumpai laut
Laporan dan foto NORAINON OTHMAN
norainon@hmetro.com.my
2010/02/28

JAM menunjukkan 10.20 pagi, namun matahari sudah tegak di kepala. Mengatur langkah ke kawasan penternakan rumpai laut di pesisir Pantai Geger, Bali, kelihatan petani berlari-lari anak mengandar gumpalan rumpai laut menuju ke pondok persinggahan, kira-kira 100 meter dari gigi air.
Beberapa lelaki dan perempuan kemudian muncul dari pantai mengandar bakul berisi rumpai laut masing-masing. Hamparan hijau rumpai laut yang baru dikeringkan dapat dilihat tidak jauh dari pondok tempat mereka bekerja dan berehat. Ada juga rumpai laut yang semakin mengering bertukar warna hijau pucat, juga kemerahan.

Ramai penduduk Bali yang menjadi penternak atau petani, kini bukan lagi di ladang tetapi menuai hasil di laut. Kehidupan dulu kais pagi makan pagi semakin dilupakan dan petani laut memandang ke depan membina masa depan yang semakin bersinar.Rumpai laut menjadi nadi nelayan di beberapa pesisir pantai Pulau Bali. Penulis berpeluang menyelami kehidupan ‘petani laut’ ketika mengikuti program lawatan ternakan rumpai laut oleh Algaetech Sdn Bhd di Pantai Geger dan Pantai Kutuh, Nusa Dua serta Pantai Kalianget, Singaraja.

Penternakan rumpai laut disokong kerajaan Indonesia dan Yayasan Kalimajari, sebuah badan bukan kerajaan diketuai pengarahnya, Gusti Agung Ayu Widiastuti yang membimbing petani daripada segi penanaman, pengeringan hingga penjualan rumpai laut kering kepada peraih kecil.
Industri itu kini dikembangkan ke beberapa daerah negara itu kerana memberi peluang pekerjaan kepada penduduk dan pendapatan besar kepada negara berkenaan.

Rumpai laut atau agar-agar hadir dalam warna hijau, coklat atau putih. Dikenali dengan nama saintifiknya Euchema cottoni atau Euchema kappayachus alvarezii, ia adalah tumbuhan akuatik yang hidup terapung di permukaan air. Ekstrak rumpai laut digunakan untuk menghasilkan ‘carrageenan’ yang berfungsi sebagai bahan campuran dalam industri pembuatan cat, syampu, dakwat, tekstil, penyembur serangga, agen pembersih, bahan pengikat dalam industri pembuatan bahan letupan, bahan pengembang dalam industri makanan, industri farmasi (pengikat ubatan) dan bahan kosmetik.

Bagi Nyuman Subrata, 44, dari Desa Sawangan, kehidupannya jauh berubah selepas beralih daripada mengusahakan tanaman jagung, kacang dan soya kepada rumpai laut. Jelasnya yang bekerja dari jam 5 pagi hingga 5 petang, pekerjaan dilakukan sejak 1992 itu menjanjikan pendapatan lumayan kepada petani, sekali gus merubah kesukaran masa lampau. “Saya sangat suka kerja ini. Enak beradaptasi dengan alam. Bikin tenaga segar setiap hari kerana di laut, auranya banyak,” katanya. Pekerjaan itu dibantu isteri dan anaknya. Rumpai laut dibersihkan daripada kotoran dan dikeringkan selama dua hari di waktu panas.

Warga emas, Ni Nyoman Kadin, 90, mengutip sisa rumpai laut yang dituai petani. Setiap bulan dia meraih 10 kilogram sisa rumpai laut yang dikeringkan dan dijual kepada pengumpul kecil. Hidup dengan rumpai laut sejak 30 tahun lalu, Ni Nyoman bekerja untuk menyara diri sendiri dan mengisi masa lapang. Ewayan Rontang, 44, bertukar pekerjaan daripada penternak lembu dan di sektor pelancongan di bahagian dobi kepada petani rumpai laut sepenuh masa kerana menjanjikan pendapatan lumayan. Menurutnya, kerja menuai rumpai laut bergantung kepada pasang surut air laut. “Kalau air surut jam 3 pagi, 3 pagi saya turun ke laut,” katanya. Menurutnya, biarpun suasana gelap dan cuma berteman cahaya bulan, tidak menjadi masalah baginya menuai di waktu malam kerana terbiasa bekerja pada waktu itu. “Apapun, saya lebih suka bekerja waktu siang biarpun kulit menjadi hitam,” katanya. Ewayan mendapat Rp20 juta (RM7,500) sebulan hasil tuaian rumpai laut di 800 tali sepanjang enam meter.

Jaring terpaksa ditambah di tepi sempadan tali bagi mengelak ikan Baronang memakan rumpai lautnya. Ikan Baronang ialah musuh utama selain tumbuhan itu selain penyakit busuk batang atau dipanggil ice-ice (disebut ais ais) yang menyerang apabila berlaku perubahan cuaca mendadak dari musim panas ke musim hujan. Meninjau aktiviti penternakan rumpai laut di Pantai Kutuh, petani melakukan kaedah pengeringan lebih baik iaitu menyidai rumpai laut. Walaupun rumpai laut kering diperoleh lebih berkualiti, tempoh pengeringan memakan masa lebih lama iaitu tiga atau empat hari berbanding dijemur di atas kanvas.

Ada 300 ketua keluarga di Pantai Kutuh yang mengusahakan penternakan rumpai laut. Nyoman Yasa, 44, berkata menternak rumpai laut satu-satunya mata pencarian yang menjanjikan pendapatan lumayan dan tidak memerlukan rawatan atau baja seperti mengusahakan sawah. Memulakan aktiviti mencari rumpai laut secara tradisional sejak 1987 dan bertukar kepada perladangan dengan teknologi dibawa Kalimajari dan sokongan kerajaan, Nyoman berpuas hati kerana pekerjaan itu mampu membiayai keperluan keluarga dan pendidikan anak. Anaknya belajar sehingga peringkat ijazah berkat rumpai laut.

“Rumpai laut akan membiak tiga kali ganda dalam masa 45 hari dan boleh dituai. Pekerjaan ini mudah dan hasilnya lumayan,” katanya yang mempunyai 1,500 tali sepanjang tiga meter bagi penternakan rumpai laut. Menurutnya, walaupun hasil lumayan, petani perlu berdepan penyakit ice-ice yang berlaku pada Januari hingga Februari ketika peralihan musim panas ke sejuk. Hari ketiga lawatan, penulis dibawa berkunjung ke Pantai Kalianget di Singaraja melihat kaedah ternakan rumpai ‘tali panjang’ (di dasar laut).

Berada pada kedalaman setengah hingga satu meter dari permukaan laut, saiz rumpai laut lebih besar dan cabang muda lebih kasar dan panjang. Masalah bagi kaedah penanaman ini ialah tali panjang rosak apabila dipukul ombak besar. Ketua Kelompok Tani Rumput Laut Jaya Sari, I Nyoman Mendra, 42, mengusahakan 2 ½ hektar ternakan rumpai laut di Pantai Kalianget sejak 2000. Ada 40 petani mengusahakan ladang rumpai laut di situ. “Dulu kami tidak mampu menonton televisyen, tetapi kebanyakan nelayan di sini menikmati kehidupan lebih baik. Daripada televisyen hitam putih, kami mampu membeli parabola duit hasil jualan rumpai laut. Kami juga mampu memiliki motosikal dan kereta.

“Jika dulu anak cuma bersekolah dasar (sekolah rendah), kini bersekolah SMA (sekolah menengah atas). Rumah pun sudah cantik dan selesa,” katanya. I Nyoman pergi ke banyak tempat, termasuk Acheh dan Padang, untuk berkongsi pengalaman dan maklumat dengan nelayan dan penuntut universiti. Pantai Kalianget menjadi kebun benih rumpai laut yang membekalkan benih rumpai laut kepada petani baru. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Algaetech Sdn Bhd (Algaetech), Syed Isa Syed Alwi, berkata rumpai laut berpotensi besar menjadi sumber ekonomi penduduk pesisir pantai Malaysia.

Selepas melakukan penyelidikan selama lima tahun, beliau yakin untuk memulakan tanaman ini secara besar-besaran di perairan negara. Kira-kira 1,000 nelayan akan turut serta dalam projek itu. Projek contoh seluas 0.405 hektar akan dibina di Pulau Pangkor dan Pekan. Dalam merealisasikan projek itu, Algaetech dengan bantuan Sirim Berhad bekerjasama dengan Yayasan Kalimajari dalam pemindahan teknologi dan khidmat nasihat.

“Kaedah penanaman tumbuhan ini mudah kerana tidak perlu mengguna baja dan tanah. Cuma gunakan air laut sebagai ladang untuk menternak dan tiada masalah serangga perosak. Kami bersama wakil Sirim datang ke Bali untuk meneliti cara menternak rumpai laut. Kaedah di sini berbeza dengan yang dilakukan di Sempoerna, Sabah. “Tujuan utama rumpai laut itu dimajukan ialah membantu nelayan pesisir pantai dan membasmi kemiskinan.

“Menjadi nelayan memerlukan modal seperti bot besar dan berdepan risiko laut bergelora di musim tengkujuh. Penanaman ini tidak memerlukan modal tinggi. Selain itu, mereka yang ingin memulakan projek ini boleh mendapatkan pinjaman daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) atau Fama,” katanya. Menurutnya, Sirim sebagai rakan teknologi bekerja dengan mereka berminat membeli balik hasil rumpai laut.

“Rumpai laut cuma mengambil masa 40 hingga 45 hari untuk dituai. Jangka masa singkat untuk matang ini membolehkan petani laut meraih pendapatan memuaskan. Selagi ada benih rumpai laut diikat pada tali panjang, ia akan tumbuh dan cepat membiak,” katanya. Mereka yang berminat menyertai projek ternakan rumpai laut boleh menghubungi pejabat Algaetech di talian 03-21440140 atau layari www.algaetech.com.my Sementara itu, Naib Presiden Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran Sirim Berhad, Asmadi Md Said, berkata pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Perikanan membangunkan teknologi meningkatkan produktiviti rumpai laut. “Teknologi hijau iaitu solar akan digunakan untuk mengeringkan rumpai laut. Ini bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja di Malaysia,” katanya. Menurutnya, Sirim bekerjasama dengan Universitas Hasanuddin, Makassar, menghasilkan produk makanan daripada rumpai laut.

Pusat penyelidikan rumpai laut

SEMPORNA 24 Julai - Satu pusat Penyelidikan dan Pembangunan perlu diwujudkan di daerah ini bagi membantu membangunkan industri ternakan rumpai laut yang berpotensi untuk dikembangkan.
Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, kewujudan pusat itu penting bagi membolehkan kualiti dan jumlah hasil ternakan dipertingkatkan, sekali gus menambah pendapatan penternak yang kebanyakannya terdiri daripada keluarga miskin tegar.

"Sekarang ini, kita hanya menjual dan orang lain yang memproses. Kalau ada pusat penyelidikan, kita akan tahu bagaimana boleh membuat sendiri produk berasaskan rumpai laut.
''Seperti industri kelapa sawit dan getah, ia maju kerana ada pusat penyelidikan. Oleh itu, bagi memajukan penternakan rumpai laut ini, kita mesti ada pusat seumpama itu dalam bidang berkenaan juga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat Pusat Pengkulturan Rumpai Laut Semporna di Kampung Look Butun, Pulau Bum Bum di sini hari ini.
Turut hadir isteri beliau, Tun Jeanne Abdullah; Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nasir Tun Sakaran.
Pusat pengkulturan yang diusahakan oleh 80 keluarga miskin tegar itu mampu menghasilkan sehingga 230,000 kilogram rumpai laut basah dan sehingga 29,000 rumpai laut kering setahun.
Selain pasaran tempatan, rumpai laut berkenaan turut dieksport ke China, Jepun dan Denmark.
Abdullah berkata, dengan adanya pusat penyelidikan dan pembangunan, teknologi serta industri hiliran boleh dikenal pasti bagi memastikan hasil laut itu dieksploitasi sepenuhnya.
Beliau menambah, teknik-teknik penternakan juga boleh ditingkatkan bagi membolehkan hasil dipertingkatkan.

''Saya nampak jarak antara satu tali dengan tali lain yang mengikat rumpai laut itu amat besar. Kalau ada kajian yang membolehkan satu lagi tali ditambah, ini akan meningkatkan jumlah hasil ternakan rumpai laut," katanya.
Abdullah menambah, beliau gembira kerana projek tersebut telah berjaya membawa keluar penduduk kampung berkenaan daripada belenggu kemiskinan.
''Kita kena fikir lagi cara menambah pendapatan dan memastikan harga jualan rumpai laut itu tidak jatuh. Lagipun, rumpai laut ini ada banyak kegunaan bukan sekadar untuk dimakan, tetapi boleh dimanfaat untuk perubatan," ujarnya.

Bangunkan mini estet rumpai laut


Sabah sememangnya dikenali sebagai salah sebuah negeri yang memiliki hasil laut yang amat baik di Malaysia. Malah, ia juga merupakan negeri utama yang mengeluarkan rumpai laut di negara ini.
Justeru, bagi meningkatkan produktiviti serta melonjakkan industri ini di peringkat antarabangsa pengukuhan serta peningkatan teknologi amat diperlukan. Menyedari tanpa perkembangan teknologi yang bersesuaian, kemungkinan besar industri rumpai laut negara yang diterajui oleh negeri Sabah akan semakin merosot tindakan awal telah dirintis oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Justeru, baru-baru ini, institusi berkenaan telah menandatangani Perjanjian projek Estet Mini Rumpai Laut antaranya bersama 11 syarikat peneraju didalam industri tersebut. Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Datuk Mohd. Johari Baharom, perjanjian tersebut adalah untuk perlaksanaan Projek Permulaan Ke Tiga (EPP 3) di bawah Bidang Ekonomi Utama (NKEA) bagi sektor Agro Makanan. "Perlaksanaan EPP 3 ini adalah berdasarkan kepada model pembangunan yang diterajui oleh syarikat swasta dengan sokongan teknologi yang disediakan oleh UMS.
"Pihak UMS telah menyediakan tenaga pakar dalam merumus model estet mini rumpai laut dan memulakan usaha-usaha awal untuk perlaksanaan projek," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Menandatangani Perjanjian Projek Estet Mini Rumpai Laut Bersama Syarikat Peneraju di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.
Kejayaan pemeteraian perjanjian tersebut juga merupakan hasil usaha oleh beberapa peringkat Jawatankuasa bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sabah dan Jabatan Perikanan Negeri Sabah.

Melalui projek tersebut juga, pihaknya menyasarkan pembangunan hampir 20 buah estet mini meliputi kawasan seluas 3,000 hektar sehingga akhir tahun ini.
Tambah beliau, pihak kementerian juga telah bersetuju untuk memperluaskan skop perlaksanaan projek EPP 3 dengan mengambil kira skop bantuan kepada pengusaha sedia ada.

"Ia bagi meningkatkan kecekapan kaedah pengeluaran sekali gus meningkatkan kecekapan kaedah pengeluaran serta kualiti," katanya.
Buat masa kini, lebih daripada 95 peratus pengeluaran dunia bagi komoditi rumpai laut disumbang oleh negara Kawasan Pembangunan ASEAN Timur (BIMP-EAGA) yang melibatkan Indonesia, Filipina dan Malaysia khususnya negeri Sabah.

Di Malaysia, hampir 97 peratus pengeluaran rumpai laut dikeluarkan dari daerah Semporna, manakala selebihnya dari Lahad, Datu, Kunak, Banggi dan Tawau.
Pencapaian pengeluaran 100 peratus rumpai laut negara telah dihasilkan oleh negeri Sabah yang mencatatkan pengeluaran komoditi rumpai laut kering sebanyak 20.78 ribu tan metrik yang bernilai RM62.35 juta.

Jumlah pengeluaran komoditi tersebut telah meningkat sebanyak hampir 50 peratus pada tahun 2010 berbanding tahun 2009 dan terus menunjukkan peningkatan dari segi nilai pengeluaran.
Bagi tahun 2011, pengeluaran rumpai laut kering negara terus meningkat sebanyak 15 peratus kepada 23.94 ribu tan metrik dengan nilai RM66.2 juta. Sememangnya pembangunan industri rumpai laut juga tergolong sebagai industri hiliran yang dinamik serta mampu memberikan sumbangan yang besar kepada Pendapatan Negara Kasar (KDNK).

Bagi menyokong pembangunan industri rumpai laut agar lebih dinamik, pendekatan dan konsep perlaksanaan estet mini rumpai laut yang diterajui syarikat swasta sangat disokong oleh kerajaan negeri. Menurut Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yahya Husin, terdapat dua lagi program pembangunan rumapi laut akan diperkenalkan oleh Jabatan Perikanan dengan kerjasama Jabatan Perikanan Sabah. "Dua program tersebut adalah Projek Pengkulturan Skala Komersial dan juga Program Menaiktaraf infrastruktur para penternak sedia ada melalui perlaksanaan pembangunan kluster," katanya. Namun, di sebalik segala usaha yang dilaksanakan kerajaan, adalah diharapkan agar para pengusaha, pelabur, penyelidik dan individu yang berminat dapat memanfaat dan merebut peluang tersebut. Ia bertujuan agar dapat melonjakkan lagi potensi industri rumpai laut negara.



Pengeluaran rumpai laut di Sabah makin meningkat
KOTA KINABALU 8 Nov. - Jumlah pengeluaran rumpai laut di negeri ini pada tahun lalu meningkat kepada 24,000 tan metrik berbanding kira-kira 20,000 tan metrik pada tahun sebelumnya.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Seri Yahya Hussin berkata, pencapaian tersebut berjaya mencapai sasaran ditetapkan dengan nilai jualan borong sebanyak RM66.2 juta.
"Dijangkakan pengeluaran rumpai laut kering akan terus meningkat pada tahun ini dengan adanya projek komersial yang diperkenalkan di bawah projek Bidang Ekonomi Utama Negara, (NKEA)," katanya di sini hari ini.

Menurut Yahya, pada masa ini Sabah merupakan satu-satunya negeri pengeluar rumpai laut jenis Eucheuma di negara ini, iaitu antara rumpai laut yang mempunyai kualiti terbaik.
Katanya, kini terdapat seramai 1,200 pengusaha rumpai laut dikenal pasti di negeri ini melibatkan kawasan sekitar 8,000 hektar. "Dari segi pengeluaran sebanyak 88 peratus pengeluaran rumpai laut ini diusahakan oleh penternak di Semporna diikuti Lahad Datu (sembilan peratus) dan masing-masing Daerah Kunak dan Tawau (kurang tiga peratus)," katanya. Dalam pada itu, beliau berkata, bagi meningkatkan potensi industri itu, sebanyak 11 syarikat peneraju telah dilantik bagi melaksanakan konsep estet mini rumpai laut. Katanya, kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan lebih RM12.3 juta bagi melaksanakan empat projek kluster rumpai laut termasuk menaik taraf penternak sedia ada.

Projek kluster rumpai laut Sabah bakal lonjak industri rumpai laut negara

SEMPORNA 3 Nov. - Projek Kluster Rumpai Laut Sabah yang dilancarkan di Semporna hari ini bakal melonjakkan industri rumpai laut negara sebagai industri berimpak dan bernilai tinggi kepada negara menjelang 2020.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, berdasarkan pelan dan tindakan yang digariskan di bawah projek Bidang Ekonomi Utama Negara itu, industri rumpai laut di Sabah, khususnya di Semporna yang kini diiktiraf sebagai "Daerah Pengeluar Rumpai Laut Negara" akan ditransformasi menjadi industri penting negara. - BERNAMA


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
powered by Blogger | WordPress by Newwpthemes | Converted by BloggerTheme